Tuesday, July 21, 2009

Nilai Tudung Wanita

Di sini kita ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian,ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat,nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengankerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dantidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki .

Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampakperbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing.

Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain.

Jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

[PETIKAN DARULNUMAN]

Friday, July 17, 2009

.....~~......

Tepat kul 3.3 0pismate dr seksyen kewangan call minta turun jap..
"ada apa ek"?...
"kak yati ada hutang yg perlu di jelaskan"..
erk, hutang apa pulak ni?..ok, sat lg akk turun.
bertuah!!!..rupa2nya dia suh ambik tiket.
wah..dh sampai eh?..alhamdulillah. tak sabar ni..
selamat tinggal bumi semenanjung..

Tuesday, July 14, 2009

santai..


Assalamualaikum..sudah seminggu tidak berposting, cuma background music yang bertukar. dari nada slow ke rancak dan kembali semula ke nada slow. dah lama sebenarnya cari lagu "redha" ni, baru semalam terjumpa. dari lirik lagu dan muzik, bg yg memula dengar akan assume tuan punya blog ni frust semacam. heehe. mmg pun..biasalah, colors of life..
Apapun hari ini 1st day "sahabatku" nun jauh dpantai timur sana menjalankan amanah sbg tenaga pengajar, moga dpermudahkan, dtenangkan fikiran, dlapangkan dada didalam menggalas amanah. Senyum "sokmo" deh..

InsyaALLAH, mungkin akan ada satu keputusan yang diambil. moga diberi kekuatan.

Tuesday, July 7, 2009

Lagi tentang SeNyUm..


BUKAN sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya. Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa.

Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda. Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar.

Kata Saidina Umar, “Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.” (Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban) Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata, “Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.” Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai.

Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata: “Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu.

Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?” Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu. Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah.

Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya. Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.

Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit.

Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan). Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah? Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah: “Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”.

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.

Friday, July 3, 2009

HAK PERSAHABATAN & PERSAUDARAAN

Assalamualaikum Wbt..
Sahabat-sahabat dan teman-teman seperjuangan,Sesungguhnya bukan sahaja dalam ibadat ada dosa pahala, bahkan dalam persahabatan dan persaudaraan juga ada dosa pahala. Sebagaimana kita wajib jaga ibadat solat maka begitulah juga kita wajib jaga persaudaraan dan persahabatan. Jagalah hati supaya tidak buruk sangka. Jagalah lidah supaya tidak mengumpat, menghina dan memfitnah sahabat dan saudara seIslam kita. Sentiasalah memelihara dan memulihara persahabatan/persaudaraan kita.

HAK MEMAAFKAN KESALAHAN DAN KETELANJURAN

Keterlanjuran kawan/sahabat di dalam agamanya boleh ditegur secara lemah-lembut dengan jalan nasihat. Jika kawan itu terus tidak mengendahkan nasihat,-memutuskan perhubungan dengannya.-boleh diteruskan perhubungan dan rasa kasih sayang dengannya, tetapi harus membenci segala kelakuannya yang buruk itu.Adapun ketelanjurannya terhadap diri kamu meskipun membosankan, tiada diragukan lagi utamanya dimaafkan dan menanggung dengan penuh daya-upaya segala kesalahannya itu. Malah harus dibalas dengan cara yang baik, ataupun mengharapkan sesuatu keuzuran daripadanya, sama ada dalam waktu yang dekat mahupun jauh.Al-Ahnaf berkata: Hak seseorang sahabat atasmu ialah agar kamu menanggung tiga macam perkara, iaitu:

  1. Penganiayaan disebabkan kemarahannya

  2. Penganiayaan disebabkan perubahan keadaannya

  3. Penganiayaan disebabkan kesalahannyaWalau bagaimanapun sekalipun, bila seorang sahabat mengemukakan sebab-sebab keuzurannya, sama ada bohong apatah lagi kalau betul, maka hendaklah anda menerima keuzuran itu, sebab orang Mu’min yang sejati ketika dalam keadaaran marah, dia segera pula redha dengan alasan yang dikemukakan kepadanya. Dan kalau mesti marah atau benci pun, maka janganlah bersikap keterlaluan.

HAK MENDOAKAN SAHABAT
Sewajarnyalah seorang sahabat mendoakan sahabatnya dengan doa yang baik-baik termasuk ahli rumahtangga serta tanggunggannya, sebagaimana dia mendoakan bagi dirinya sendiri; sama ada sahabat itu masih hidup atau sudah mati.Dalam hadith ada tertera:“Bila seseorang mendoakan bagi diri sahabatnya sedang dia tidak ada bersama-nya, maka Malaikat akan berkata: Dan engkau juga akan menerima sepertinya juga.”“Doa seseorang untuk saudaranya dalam masa ketiadaannya, tidak akan tertolak.”

HAK KEUNGGULAN JANJI DAN IKHLAS.

Erti keunggulan di sini, ialah berdiri teguh atas cinta yang berterusan, hingga menemui maut, kemudian yang hidup akan meneruskan kecintaan itu terhadap anak buah si mati dan para sahabatnya. Sebab maksud cinta itu, ialah supaya berpanjangan hingga ke Hari Akhirat. Jika cintanya terputus sebelum mati, niscaya akan sia-sialah amalan dan hilanglah segala usaha.

Diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w.pernah memuliakan seorang perempuan tua, lalu para sahabat bertanya sebabnya. Jawab baginda: Perempuan tua ini selalu datang ke rumah kami di waktu hayat Siti Khadijah, dan sesungguhnya kemuliaan janji itu dari agama.Begitu juga memelihara sekalian rakan-rakan dan sanak-keluarganya yang menggantungkan kehidupan mereka kepadanya. Mengambil berat tentang hal-ehwal mereka ini lebih berkesan dalam hati kawan itu daripada mengambil berat tentang dirinya sendiri. Ia akan melonjakkan gembira kerana ada orang yang mengambil tahu tentang kesusahan para tanggungannya.Apabila seseorang itu berkasih sayang pada jalan Allah jangan biarkan kasih sayang itu bercampur aduk dengan dengki dan hasad baik dalam perkara agama ataupun dunia. Bagaimana hatinya sampai tergamak dengki, padahal segala yang ada dalam tangannya itu, adalah untuk kawannya dan segala manfaat dan maslahat akan kembali kepada kawannya.

PENTING: Termasuk dalam arti keunggulan lagi ialah: Jangan sampai keadaannya berubah dalam perhubungan dengan sahabatnya andaikata dia mendapat pangkat, atau luas pengaruhnya, ataupun tinggi kedudukannya. Meninggikan diri ke atas rakan-rakan kerana sebab-sebab tersebut tadi adalah sifat yang tercela.

Selanjutnya hendaklah anda ketahui, bahawasanya pengertian keunggulan itu bukanlah bila anda menyetujui rakan anda menjejaki jalan batil dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama yang suci, malah hendaklah anda menentangnya serta menasihatinya kerana Allah.Sebagai tanda kebenaran dan keikhlasan dalam persahabatan serta keunggulan dalam diri, hendaklah anda merasa berat bila hendak berpisah dengan kawan, tidak dapat ditanggung oleh diri biar apa pun sebabnya.
Kata seorang penyair: Semua bencana zaman dapat kutanggung Hanya berpisah dengan kekasih saja berat padahnya.

HAK MERINGANKAN DAN TIDAK MEMBERATKAN

Hendaklah seseorang kawan itu tiada memberati kawannya dengan sesuatu perkara yang akan menjengkelkannya, bahkan hendaklah dia meringankan tanggungannya dengan memikul setengah dari kebutuhannya dan keperluannya,Jangan sekali-kali ia membebankan kawan itu untuk menunaikan sebahagian dari kewajiban-kewajibannya sendiri. Malah jangan pula ia mengharap sesuatu dari kasih sayangnya terhadap kawan itu, melainkan semata-mata kerana Allah Ta’ala saja, ataupun menganggapnya sebagai semacam sumbangan terhadap agamanya, dan berlapang hati untuk menemui Allah serta mendekatkan diri kepadaNya. Atas tujuan-tujuan serupa itulah ia menunaikan hak-hak kawan dan memberikan bantuan-bantuan kepadanya.

Setengah para Solihin berkata: Sesiapa yang membebani saudaranya dengan sesuatu perkara yan tak dapat ditanggungnya, maka telah menganiayai saudara itu. Sesiapa membebani saudaranya pula dengan sesuatu yang pernah ia bebani sebelum itu, maka ia telah menyusahkannya. Dan sesiapa yang tidak pernah membebani saudaranya apa-apa pun, maka itulah orang yang paling utama dan paling unggul kepada sekalian saudaranya.Kesimpulannya, janganlah sampai dia menyusahkan kawannya sama sekali sehingga ia merasa tiada malu dengan kawan , sebagai mana ia tiada malu dengan diri sendiri.

Berkata Ali r.a.: Seburuk-buruk kawan, ialah kawan yang sentiasa memberati kamu dengan perkara-perkara yang tak tertanggung, menyebabkan kamu bersikap serba-salah dan menyeret kamu kepada memuat berbagai alasan.

Al-Fudhail berkata: Yang menyebabkan orang ramai putus perhubungan antara satu dengan yang lain ialah taklif; iaitu memberatkan diri orang lain dengan bermacam-macam permintaan. Seseorang kawan menziarahi kawannya, lalu ia memberatkan kawan itu dengan berbagai-bagai tanggungan, akhirnya kawan itu pun memutuskan perhubungan dengannya.

Sahabat-sahabat.......jagalah, peliharalah, peliharalah dan suburkanlah persahabatan dan persaudaraan kita lebih-lebih di ketika kita memilih pucuk pimpinan.


AYUH FIKIR-FIKIRKAN BERSAMA....:)

info:Dewan Pas Muslimat Tawau



inf0:

Thursday, July 2, 2009

sEnYuMLaH....


Manis wajahmu kulihat di sana
Apa rahasia yang tersirat
Tapi zahirnya dapat kulihat
Mesra wajahmu dengan senyuman
Senyuman...
Senyum tanda mesra
Senyum tanda sayang
Senyumlah sedekah yang paling mudah
Senyum di waktu susah tanda ketabahan
Senyuman itu tanda keimanan
Senyumlah... ...
Hati yang gundah terasa tenang
Bila melihat senyum diri kan tenang
Tapi senyumlah seikhlas hati
Senyuman dari hati jatuh ke hati
Senyumlah seperti Rasulullah
Senyumnya bersinar dengan cahaya
Senyumlah kita hanya kerana Allah
Itulah senyuman bersedekah
Itulah sedekah paling mudah
Tiada terasa terhutang budi
Ikat persahabatan antara kita
Tapi senyum jangan disalah guna
Senyum... ...
Senyumlah kita
Senyumlah... ...
Senyumlah penawar duka
Senyumlah penyejuk hati
(7 tahun sudah berlalu, bila terdengar lagu "senyum" ni, teringat pada sahabat lama yang tidak kuketahui khabar beritanya. dia dedicate lagu ni khas utk aku, supaya senyum sentiasa. agaknya dia tengok muka aku ni masam sangat kot. hehe. walaupun tidak banyak masa yang kami luangkan bersama, tapi dgn mengenali dirinya..banyak yg aku pelajari. semoga dia bahagia selalu dgn kehidupannya sekarang. "be ur self"..ayat yg selalu de pesan kat aku..:)
"SENYUM"....tak perlu sebarang bayaran..sedekah yang paling mudah. takkan itu pun tak boleh "dhulurkan??"..

Wednesday, July 1, 2009

tetapkan aku dijalanMU..

Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah ceraikan beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina) (Riwayat al Tirmizi dinilai hasan oleh al-Aibani)

"Ya Allah, letakkanlah dunia ditanganku, jangan Kau letakkan dihatiku..."